di garis putih cinta

AYAH (DALAM DIAM MU)

Posted by: sujak on: May 18, 2009

Hanya sesekali suaramu melintas
mengutusi salam kerinduan
dikeriuhan hidup kami –
pada setiap keresahan hati
kaupendamkan sendiri
mengusung sunyi dalam
derap langkah kaki
ke ruang yang ingin
dimengerti.

Ayah, dalam diam mu itu
aku memaklumi hempasan rasa
yang bersimpang-siur dalam
urat saraf nadi cekalmu
mengharap agar segalanya
seteguh masa yang tak
pernah letih beranjak
menghembuskan ingatan
ke lubuk hati.

Ayah, selagi adanya mentari
dan dingin pagi di kaki hari
aku tetap setia di sisi
memimpin tanganmu kembali.

AZHAN KAMAL
Cyberjaya.
(WANITA, Jun 2009 p:129)

DIA DAN SEKAWAN BURUNG PUTIH

Posted by: sujak on: May 4, 2009

Siang terjegil
entah di mana hilangnya kabus
mungkin ditelan mentari yang rakus
membakar dingin keinginan -
dia berdiri merenung awan
sekawan burung putih melintas
menawan pagi yang suci.

Saat seluruh makhluk bingkas
mengejar sesuap rezeki
dia masih menguap mengkhayal
mimpinya semalam
sambil tangan tak henti
membilang tasbih harapan
mohon segalanya dipermudahkan
tuhan.

Sekawan burung putih
telah kekenyangan memagut
padi sebendang, dia baru memulakan
langkah mencari sepasang sepatu
sambil mengaru kepala
melihat mentari telah menghilang
di depan mata dan burung-burung
pulang ke sarang semula!

- KAMAL SUJAK
SHDL, MMU Cyberjaya.
27 April 2009
(Mingguan Malaysia, Ahad 3 Mei 2009)

DALAM RENYAI HUJAN

Posted by: sujak on: April 6, 2009

Dia ketawa dalam renyai hujan
membiarkan pakaiannya basah
tanpa malu dan gundah
dalam gigil dia berterusan ketawa
berlarian dalam dentum prasangka.
yang terpercik di seluruh jiwanya.

Biarlah hujan membilas deritanya
setelah teduhan mengoyak mimpinya
yang sesaat cuma – hujan akan tetap berhenti
dan dia perlu terus berlari
menatap hari tanpa pelangi!

- KAMAL SUJAK
SHDL, MMU Cyberjaya.
26 Mac 2009
(Mingguan Malaysia, Ahad 5 April 2009)

DI LANGIT BAHASAKU

Posted by: sujak on: March 30, 2009

Di langit bahasaku
yang sering mendung
pasti akan kautemui
gumpalan sesalan
di mana-mana.

Hadirkan pelangi
di hati kami
agar terang sesudah hujan
tunjukkan kami jalan
kagumi keindahan bahasa sendiri
walau di mana-mana diri berdiri.

Di Langit bahasaku
yang permai, dituturkan
setiap warga berdaulat
penuh hormat, tidak tergugat
oleh hembusan globalisasi
mantap terisi mengisi visi.

Di langit bahasaku
yang indah, kami akan pertahankan
di setiap sisi, anugerah yang tidak
ternilai ini, buat diwarisi
anak-cucu kami
kekal menjulang tradisi.

Kamal Sujak
Cyberjaya, Selangor
10 Julai 2008
(Pelita Bahasa, April 2009)

SEKEPING KERTAS ITU

Posted by: sujak on: March 30, 2009

Yang ditandai di sekeping kertas itu
adalah masa depan kami
dengan sabar memerhati
gerak geri dan teorimu yang
sering tak menjadi.

Kita sudah terlalu letih
menghimpunkan sengketa dalam
untaian aksara berbisa yang tidak
ke mana.

Emosi telah sejat
dunia semakin tenat
menanti sebuah perkhabaran baru
yang tergenggam di hujung pena mu.

KAMAL SUJAK
SHDL, MMU Cyberjaya.
25 Mac 2009
(Berita Harian, Sabtu 28 Mac 2009)