Posted by: sujak on: October 29, 2007
Kerdip bulan yang dinanti
menyuluh terang denai insani
membiaskan cahaya keinsafan
pada setiap kekhilafan
yang terlindung disebalik
manis senyuman.
Moga hati cekal memaafkan
redha di atas segala keputusan
tenang menyambut huluran salam
kembalikan titis kemesraan
setelah sepuluh malam tak berbintang
di langit kelam.
Kita hirup nikmat Syawal
dan merindui harum Ramadan
daripada hati yang tulus ikhlas
memaafkan!
KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor.
7 Oktober 2007
(Berita Minggu, 28 Oktober 2007)
Posted by: sujak on: September 3, 2007
Gerak hati pasti membisik
hanya diri mampu menilai
yang terbaik.
Di sini sebuah kenyataan
yang pasti lurus jalannya
di situ belum tentu
titik mulanya.
Sesaat berfikir pasti
betah menyingkir
segala ragu yang muncul
di hatimu.
KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor.
28 Ogos 2007
(Berita Minggu, 2 September 2007)
Posted by: sujak on: August 12, 2007
Namaku Merdeka
yang terlaung di rengkung kalbu
muda-mudi
pada detik 31 Ogos yang basah
dalam peluh hangat pesta.
Namaku Merdeka
yang sering dilupakan
dalam keriangan
dan kesibukan menghirup
nikmat kemerdekaan.
Saat kerdip neon terpadam
menyambut September yang tenang
namaku kembali hilang
setelah tamat sambutan.
KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor
7 Ogos 2007
(Berita Minggu, 12 Ogos 2007)
Posted by: sujak on: August 10, 2007
Syukurlah
Tuhan telah membukakan
pintu hatinya untuk kembali
menanggalkan pakaian semalam
yang penuh terpalit noda hitam
di almari kenangan.
Lalu bersungguhan dia
menguncinya
dengan keimanan
agar tidak lagi terlanjur sesalan.
KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor
31 Julai 2007
(Berita Minggu, 5 Ogos 2007)
Posted by: sujak on: August 10, 2007
Musim kering
angin dari perbukitan
hanya mampu menggegarkan
pohon rindu yang tidak lagi beranting
menggugurkan daun kepedihan.
Moga hujan
akan turun
merahmati dan melenyapkan
debu kesakitan
yang melekat di perdu hati.
Tuhan, temukanlah
tunas sakti yang
membenihkan sejuta bahagia!
KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor
11 Julai 2007
(Berita Minggu, 23 Julai 2007
Recent Comments