Posted by: Kamal on: December 16, 2010
Aku terhukum kerana menyayangimu
seperti gerimis yang hanya mampu kulihat
di sebalik jendela dan kaupergi menjinjing
semangat yang larut dalam deras hujan
di penghujung Disember kita.
Aku pun enggan berterusan menanti
gerimis ini membasahi laman jiwa
aku mengejarmu yang tidak juga
kupaksakan untuk berhenti
melihat ke dalam diri sendiri.
Kau hukumlah aku kerana menyayangimu
biar hujan menghilangkan jejak rindu
hari ini aku nekad untuk terus menantimu
doaku agar kita bertemu
walau hanya dalam segumpal mimpi
tergantung di langit yang tinggi.
Aku harus menunggumu lagi
kerana itu adalah segunung bahagiaku
yang mampu kubawa bersama
dalam cerita lara kita.
KAMAL SUJAK
KLANG.
07.11.2010
(Sastera.Net, Edisi 10 Jilid 4 Bil. 2, 2010)
Recent Comments