di garis putih cinta

TAMAN KEHIDUPAN

Posted by: sujak on: October 18, 2009

Di sini,
kita pernah jatuh tersungkur
ketika mengejar pepatung
di taman kehidupan
dan indah kuntum bebunga
membuat kita terleka
hingga hujan tiba
membasahi seluruh bahagia
dalam tenang waktu.

Di taman kehidupan ini
tidak terhitung nikmat tuhan
yang berselerakkan di setiap
ranting hidup, dalam subur jiwa
dari akar fikir ke putik mimpinya.

Tuhan anugerahilah kami
harum bungaan yang mengingatkan kami
kepada ketenangan dan bahagia
setelah segalanya hilang sekelip mata
dan tragedi ini menginsafkan diri
tiada sesuatu kekal dimiliki
seperti semalam yang pergi.

KAMAL SUJAK
Teduhan, Klang Selangor.
6 Oktober 2009
(Berita Harian, Sabtu 17 Oktober 2009)

DI LANGIT KALBU

Posted by: sujak on: September 28, 2009

Lembayung Syawal merekah
merah di mana-mana,
indah penuh kesyahduan
terbukalah langit kemenangan
insan-insan yang tak gentar diuji
mensyukuri nikmat pemberian
Ilahi.

Secerah mentari bersinar
mengusap pipi anak-anak kecil
yang girang berlarian di bawah
langit tuhan, merasai nikmat
keagungan.

Ibu tua mendakap langit cinta
yang meluruhkan harapan
beraraklah awan rindu
menyentuhi segaris hasrat
saat anak-anak pulang ke sisi
mengucup tangan
di hari berbahagia ini.

Di langit kalbu setiap insan
bersama meraikan kemenangan
sebuah perjuangan rohaniah
penuh hikmah dalam mengutip
amalan di satu perjalanan
kehidupan.

KAMAL SUJAK
CYBERJAYA, SELANGOR.
26 Jun 2009
(WANITA, Oktober 2009)

TEGAR

Posted by: sujak on: September 14, 2009

Wujudnya tegar memaksa dan meminta
meminta dan terus meminta
sehingga memperoleh segala rasa.

Wujudnya hanya untuk memberi
memberi dan terus memberi
sampai tergadai segala isi.

KAMAL SUJAK
Teduhan, Klang, Selangor.
9 September 2009
(Berita Harian, Sabtu, 12 September 2009)

PAGI YANG TENANG DI SEBUAH DUSUN

Posted by: sujak on: July 6, 2009

Ketika menikmati durian dan manggis
di dusun nenek, dia bercerita tentang
masa lalu yang pedih dan kesukaran
zaman sebelum kemerdekaan;
“Tanpa keinginan dan usaha kita
tidak akan mampu menikmati manisnya
kebahagiaan hari ini.”

Rimbun pepohonan puluhan tahun
enak terasa hasilnya hingga berkurun,
kami berkumpul dan mendengar cerita
nenek penuh rasa kagum;
“Hari ini hidup kita sudah senang, tapi kita
lupa tentang masa silam, payah sikit kita
merunggut dan berdendam.”

Musim buah kami pulang ke desa
berkumpul dan bermesra sanak-saudara
mengingati zaman kecil yang penuh duka
kini semua sudah berjaya ke menara
bersyukur dengan nikmat dari yang Esa
memberi peluang kami melakar kejayaan
nikmat sebuah kemerdekaan.

Senja itu kami pulang semula ke kota
tinggalkan segala cerita di desa tercinta
memahat harapan dan rindu untuk terus bertemu
doa kami moga nenek dan ayah bonda sentiasa
sihat dan ceria selalu – “Peliharalah kemerdekaan ini,
jangan dilepaskan lagi apa yang kita miliki,”
pesan nenek kepada kami lagi.

KAMAL SUJAK
SHDL, MMU, CYBERJAYA.
1 Julai 2009
(Berita Harian, Sabtu 4 Julai 2009)

SESIBUK MANAPUN MASAMU (Buat teman-taman di TM)

Posted by: sujak on: May 28, 2009

Teman,
Sesibuk mana pun masamu
luangkanlah masa ke syurga ilmu
menatap helaian keagungan
para cendikiawan terbilang
pasti akan kau temui
sesuatu yang baru,
yang mampu memberimu sesuatu.

Ke ruangmu, perpustakaan
bukan sekadar buku,
di hujung jari segalanya boleh dimiliki
buat mereka yang tak sempat ke sini
pangkalan data berjuta nilainya
menghimpun maklumat berguna
buat bekal dunia dan akhirat
tidakkan rugi walau sesaat.

Teman,
dalam setiap masa emasmu
luangkanlah masa membaca buku
ilmu diteroka semakin meronta
tidak terjangkau di sudut minda
menjadi insan lebih berilmu
berjasa pada bangsamu
dan kerjayamu pasti bermutu.

Ilmu itu sentiasalah dicari
walau sesibuk manapun hidupmu
usah tertinggal dalam dairi diri
berkunjunglah ke gedung ilmu
mulakanlah dari sekarang
pasti dirimu cemerlang, gemilang!

KAMAL SUJAK
Universiti Multimedia
(1 ekspresi, Edisi Pertama 2009, p:24)